PROGRAM MANTAI PERDANA: 5 EKOR LEMBU UNTUK KEPERLUAN AIDILFITRI PENDUDUK JOHOL, NEGERI SEMBILAN
JOHOL, 7 April 2024 – Program Mantai Perdana merupakan sebuah inisiatif kolaboratif pertama antara Yayasan Jariah – Aafiyat bersama Yang Teramat Mulia Undang Luak Johol, Negeri Sembilan yang diadakan di kediaman persendirian beliau di Kg Ayer Mawang, Johol, Negeri Sembilan.
.
5 ekor lembu telah disembelih dengan anggaran lebih 1250 kilogram daging yang dapat dimanfaatkan oleh masyarakat setempat. Langkah ini bertujuan untuk memenuhi keperluan masyarakat menjelang Hari Raya Aidilfitri yang bakal dirayakan pada minggu hadapan.
Program Mantai Perdana ini menawarkan daging dengan harga yang lebih rendah iaitu RM30/kilogram berbanding harga pasaran dan memberi manfaat yang besar kepada 300 isirumah di Johol, Negeri Sembilan.
.
Program ini dihadiri oleh Yang Teramat Mulia Undang Luak Johol, Y.T.M. Dato’ Johan Pahlawan Lela Perkasa Setiawan Dato’ Muhammad Bin Hj. Abdullah, Dato’ Adat daerah Johol dan YBhg En. Aidil Azwal Zainudin selaku Pengerusi Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Jariah-Aafiyat.
.
Penganjuran Program Mantai Perdana ini menandakan kerjasama erat antara Yayasan Jariah-Aafiyat dan Yang Teramat Mulia Undang Luak Johol dalam memberikan sumbangan positif kepada masyarakat menjelang Hari Raya. Program ini bukan sahaja merupakan satu langkah penting dalam menyokong kesejahteraan masyarakat Johol, tetapi juga melambangkan semangat gotong-royong dan kepedulian sosial yang menjadi ciri khas dalam perayaan Hari Raya Aidilfitri.
.
Sekalung perhargaan kepada pihak Yang Teramat Mulia Undang Luak Johol, Y.T.M. Dato’ Johan Pahlawan Lela Perkasa Setiawan Dato’ Muhammad Bin Hj. Abdullah, Dato’ Adat daerah Johol, YBhg En. Aidil Azwal Zainudin selaku Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Jariah-Aafiyat dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang merupakan penyumbang dalam menjayakan Program Mantai Perdana Negeri Sembilan.
.
“No gift is too small to make a difference”